UCAPAN KHAS RAMADHAN DAN AIDILFITRI

Jumaat, 26 Ogos 2011

MAJLIS KHATAM AL-QURAN

Khamis, Program Ihya Ramadhan SK Kahang 2011 tiba di penghujungnya apabila berlangsungnya Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Anak Yatim, dilangsungkan pagi tadi. Majlis disempurnakan dengan perasmian oleh En. Hasbullah Mohammad, Ketua Kampung Sri Lukut, Kahang. Majlis juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran ibubapa dan Yang Dipertua PIBG. Pelbagai pertandingan yang dijalankan sepanjang bulan Ramadhan juga diraikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.





Rabu, 17 Ogos 2011

PERISTIWA NUZUL QURAN

Hari ini 17 Ogos 2011 bersamaan dengan 17 Ramadhan 1432H adalah salah satu hari yang berlaku peristiwa penting dalam Islam. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat,... 17 Ramadhan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
(Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Al-‘Alaq:1-5)
See More

KISAH TAULADAN 03 : UNTA MENJADI HAKIM

Pada zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Rasulullah s.a.w. lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, "Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu."
Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada unta itu, "Hai unta, milik siapakah engkau ini ?" Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta." Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata kepada orang Muslim itu, "Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar." Jawab orang Muslim itu, "Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali."

Rasulullah s.a.w bersabda, "Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku." 
Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. melalui seekor unta yang menghakimkannya.

KISAH TAULADAN 02 : KUBUR BERKATA-KATA

Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antara :-

1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a)
2. Hasan (anak Fatima r.a)
3. Husin (anak Faimah r.a)
4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a

Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w."
Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-

1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah :-

1. Jangan berdusta
2. Jangan mengkhianat
3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4. Jangan kencing sambil berdiri

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing." 
Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah s.w.t. dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."
Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

Isnin, 8 Ogos 2011

AKTIVITI WAKTU REHAT




Aktiviti Bulan Ramadhan dilaksanakan dengan  pelbagai variasi aktiviti berfaedah. Secara rutinnya, setiap hari pada waktu rehat tazkirah giliran Guru-Guru Agama sekolah akan disampaikan sebagai mengisi waktu rehat dengan majlis ilmu yang bermanfaat dan berfaedah. Pada masa yang sama juga pertandingan-pertandingan seperti tekasilangkata, kuiz dan syarahan dijalankan bagi memberikan peluang kepada murid turut serta terlibat dalam semua aktiviti yang dirancang.

Ahad, 7 Ogos 2011

CERITA TAULADAN 01

Di suatu masa dahulu, terdapat seorang alim ulamak yang tersohor kerana ilmu dan amalannya. Beliau adalah seorang penghafal Al-Quran dan juga penghafal beribu - ribu hadith sahih semenjak kecil lagi. Dan semenjak kecil lagi,beliau telah di hantar oleh kedua ibu dan bapanya untuk menuntut di Mekkah dan Madinah selama berpuluh tahun lamanya. Bapanya juga adalah seorang alim ulamak yang pernah mengembangkan agama Islam sampai ke negara selatan Siam.

Mengikut ceritanya, bapanya adalah orang pertama di zaman moden ini yang bukan daripada warga Arab Saudi diberi penghargaan mengimamkan solat fardhu di Masjidil Haram, Mekkah. Nak dijadikan cerita, pada suatu masa, alim ulamak tersebut telah jatuh sakit lalu tidak dapat untuk mengimamkan solat fardhu di suraunya.

Maka tiba - tiba datanglah seorang yang berpakaian buruk (seolah - olah kelihatan tidak siuman) sejurus sebelum solat fardhu di laksanakan. Alim ulamak tersebut telah meminta supaya orang yang berpakaian buruk tersebut untuk menggantikannya menjadi imam! Setelah solat fardhu selesai, maka orang yang berpakaian buruk tersebut telah memohon untuk mengundur diri.

Kelihatan senyuman terukir pada wajah murid – murid alim ulamak tersebut kerana semasa sembahyang fardhu tadi, orang yang berpakaian koyak tersebut tidak membaca surah fatihah dan surah yang lain dengan tajwid yang betul.

Mereka tidak biasa dengan keadaan sebegitu kerana guru mereka, yaitu alim ulamak tersebut, adalah seorang yang fasih dalam berbahasa arab serta mempunyai bacaan tajwid yang sungguh baik sekali (maklumlah seorang al-hafiz dan sudah berpuluh tahun belajar di Mekkah).

Maka alim ulamak tersebut telah bersalaman dan berpelukan dengan orang yang berpakaian buruk tersebut sebelum orang yang berpakaian buruk meninggalkan surau. Setelah itu, alim ulamak memanggil keseluruh muridnya berkumpul di hadapannya lalu beliau telah bercerita :

Pernah berlaku di suatu kampung di timur tengah dimana terdapat seorang pengembala kibas yang sangat alim, sangat suka merendahkan diri dan suka menolong penduduk kampung sekiranya di minta pertolongan. Cuma yang peliknya, ternakan kibasnya yang di kurung di dalam sebuah kandang yang serdehana besar itu tidak pernah luak walau banyak mana sekalipun orang datang untuk membeli kibas daripadanya.. Belilah sampai seratus ekor sekalipun, setelah kibas-kibas tersebut di bawa keluar daripada kandang, yang tinggal di dalam kandang tetap kelihatan sama banyak bilangannya seperti sebelum seratus ekor di bawa keluar daripada kandang!

Maka seluruh alim ulamak penduduk kampung telah beranggapan bahawa pengembala kibas tersebut adalah seorang aulia' Allah dan mereka telah bermuafakat untuk pergi berjumpa dengan pengembala kibas tersebut dan memohon supaya dia mengimamkan solat dimasjid kerana mereka mahu mengambil berkat menjadi makmum kepada pengembala kibas tersebut.

Hasrat mereka telah di persetujui oleh pengembala kibas. Sembahyang pun di laksanakan di masjid, dan pengembala kibas telah menjadi imam. Malangnya, semasa membaca surah fatihah dan surah berikutnya, bacaan beliau tidak sempurna tajwidnya. Maka setelah selesai sembahyang, seluruh penduduk kampung telah pulang kerumah masing - masing sambil ketawa terbahak - bahak kerana mereka berfikiran bahawa tanggapan mereka terhadap pengembala kibas sebelum ini sebagai aulia' Allah telah jauh meleset.

Pada malam tersebut, seluruh alim ulamak penduduk kampung telah bermimpi, dan mereka mendapat mimpi yang sama. Datang seorang lelaki yang tinggi dan kacak di dalam mimpi mereka dan lelaki tersebut telah mengatakan bahawa seumur hidup mereka bersembahyang, itulah baru kali pertamanya sembahyang mereka telah diterima Tuhan! Subhanallah!

Keesokan harinya, kesemua alim ulamak penduduk kampung berkumpul dimasjid untuk menunaikan sembahyang subuh dan setelah selesai sembahyang subuh mereka terus menuju ke kandang pengembala kibas. Malangnya, pengembala kibas telah tiada, kandang dan kibasnyapun telah tiada. Bekas kandangpun tiada, seolah – olah kandang kibas tidak pernah wujud!

Setelah selesai menceritakan kisah pengembala kibas, maka kebanyakan anak muridnya telah menangis kerana mereka tahu mereka telah membuat kesalahan kerana telah mendahalui Allah dengan merendahkan amalan makhluk Allah yang lain, sedangkan mereka sendiri tidak tahu akan kedudukan mereka di sisi Allah.

Allah Ta'ala telah berfirman yang bermaksud :

"Janganlah engkau semua melagak - lagakkan dirimu sebagai orang suci. Allah adalah lebih mengetahui kepada siapa yang sebenarnya bertaqwa."
(SurahAn-Najm : 32)

"Janganlah engkau memalingkan muka dari para manusia sebab kesombongan dan janganlah berjalan di bumi dengan takabbur, sesungguhnya Allah itu tidak suka kepada setiap orang yang sombong dan membanggakan diri."
(Surah Luqman 18)

IMAM DAN 20 SEN


Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.

Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.

Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.

"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya.

"Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," kata Imam tersebut.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti.

Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.

"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.

Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"

Sahabat-sahabatku sekalian...

Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam.

Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan yang baik.

Rujukan: iluvislam

34 MINIT SEHARI


Apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan, kadang-kala kita terlalu sibuk sehinggakan kita jadikan ia alasan untuk melengah-lengahkan solat atau lebih teruk lagi, meninggalkannya terus. Jikadilakukan sedikit pengiraan, dalam sehari, kita perlu menunaikan solat:

  • Subuh: 2 rakaat
  • Zuhur: 4 rakaat
  • Asar: 4 rakaat
  • Maghrib: 3 rakaat
  • Isyak: 4 rakaat
Jadi jumlah keseluruhan adalah 17 rakaat sehari. Katakan seseorang itu mengerjakan solat lebih kurang 2 minit untuk setiap rakaat, maka jumlah masa yang diambil untuk menunaikan solat dalam sehari hanyalah selama 34 minit. Dalam sehari ada 24 jam bersamaan 1440 minit. Jika dikira peratusan masa yang diambil untuk menunaikan solat dalam sehari, hanyalah 2.36%.

SALAM RAMADHAN DARI MEJA ADMIN

Syukur Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur untuk menyambut Ramadhan yang ke 1432 ini. Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik bagi diri kita. Semoga kita mampu untuk berubah kepada lebih baik dan kekal sehingga Ramadhan tahun berikutnya.

Sempena menyambut Ramadhan ini, sama-samalah kita membersihkan diri kita daripada dosa agar Ramadhan kali ini menjadi suatu titik perubahan dalam diri kita untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Sama-samalah kita berdoa:

Bismillah...

Ya Allah ya tuhan kami,
Ampunkanlah segala dosa-dosa kami ya Allah,
Ampunkan dosa-dosa ibu bapa kami,
Ampunkan dosa-dosa isteri/suami kami,
Ampunkan dosa-dosa anak-anak kami ya Allah,
Ampunkan dosa-dosa ahli keluarga kami ya Allah,
Ampunkan dosa-dosa muslimin dan muslimat saudara kami ya Allah.

Panjangkan umur kami dengan berbuat amal ibadat kepadaMu ya Allah,
Hindarilah diri kami dari melakukan dosa-dosa kepadaMu ya Allah,
Engkau teguhkanlah iman kami ya Allah,
Matikan diri kami dalam keadaan beriman kepadaMu ya Allah,
Murahkan rezeki kami dengan rezeki yang halal ya Allah,

Masukkan kami ke dalam syurgaMu ya Allah,
Jauhikan kami dari azab seksa nerakaMu ya Allah,
Temukan kami dan keluarga kami di dalam syurgamu ya Allah.

Amin...


Admin - http://ramadhanskkahang.blogspot.com

KESILAPAN DI BULAN RAMADHAN

Kesilapan Di Bulan Ramadhan

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah . Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

RAMADHAN - ANTARA IBADAH DAN ADAT

Ramadan antara ibadah dan adat


Umat Islam seluruh negara telah melangkah masuk ke bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Rentetan daripada ketibaan Ramadan, suasana baruyang tidak dapat dilihat pada bulan-bulan lain akan mengambil  tempat.

Di antaranya menggambarkan ciri ibadah puasa yang sebenar serta tidak kurang juga puasa sebagai adat atau pesta tahunan.  

Oleh itu, umat Islam perlu benar-benar memahami falsafah puasa yang selaras dengan al-Quran dan sunah serta mengelakkan daripada menjadikan puasa hanya sebagai adat tahunan sahaja.

Di antara ciri-ciri tingkah laku yang perlu dihindarkan kerana telah menjatuhkan martabat puasa kepada tahap adat semasa ialah:  

* Menyempitkan skop puasa hanya dengan menahan makan dan minum pada siang hari sahaja. Sedang mata, hati dan lidah tidak ditahan daripada melakukan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan  minumannya. (riwayat Al-Bukhari)

* Berpuasa pada siang hari sahaja daripada melakukan dosa dan maksiat. Selepas berbuka segala kegiatan maksiat seperti mengumpat, merokok, mencaci, melakukan zina mata diteruskan seperti biasa.

* Berlebih menyediakan juadah berbuka puasa sehingga melakukan pembaziran. Allah berfirman, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara kepada syaitan. (al-Isra':27)

* Berlebih makan ketika berbuka sehingga meletihkan badan dan menghalang daripada melakukan ibadah di malamnya. Sikap bersederhana Rasulullah s.a.w di dalam berbuka puasa perlu dicontohi sebagaimana maksud  hadis: Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. (riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi) 

* Malas menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat seperti melakukan solat tarawih, solat malam dan sebagainya.

* Terdorong untuk bersolat tarawih hanya kerana sandaran kepada hadis palsu yang menyatakan kelebihan bersolat tarawih pada setiap malam. Untuk itu, pihak berkuasa agama perlu menghindarkan penyebaran hadis inidaripada berleluasa seperti tahun-tahun terdahulu.

* Mengabaikan ibadah malam bermula dengan solat  berjemaah maghrib, isyak dan tarawih kerana sibuk menonton televisyen atau kerana urusan-urusan lain.

* Malas bekerja dan tidak produktif semasa berpuasa  dengan alasan keletihan. Bayangkan bagaimana nabi s.a.w dan para sahabat berperang Badar dengan nisbah 300 melawan 1,000  orang.

* Malas membaca al-Quran atau hanya mengehadkan bacaanpada surah Yasin sahaja. Sedangkan baginda s.a.w senantiasa menyemak dan  mengkhatamkan al-Quran sekali di dalam bulan Ramadan dengan Jibril   a.s.

* Malas berdoa sedangkan doa orang yang puasa akan dimakbul oleh Allah berdasarkan sabda nabi s.a.w : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibn Majah).  

* Mengabai serta meninggalkan peluang beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya.

* Tidak bersedih dengan berakhirnya bulan Ramadan. Juga tidak bimbang sekiranya tidak dapat bertemu Ramadan yang akan datang.

* Memiliki kepercayaan-kepercayaan karut tentang kepulangan roh orang yang telah mati pada bulan Ramadan. Sedangkan kepercayaan tersebut adalah bertentangan dengan konsep roh dan alam barzakh (al-Mukminun:  99-100)

* Kepercayaan kepada perlunya menyalakan pelita pada malam 7 likur. Akibat kepercayaan ini Islam telah terfitnah dengan tohmahan  pihak tertentu yang mengatakan malaikat orang Islam rabun malam. Oleh sebab itu, pelita perlu dinyalakan sebagai panduan kepada para malaikat yang turun membawa  berkat. (Rujuk-   http://youtube.com/watch?v=RgT-_Uf62rk)

* Tidak menunaikan sembahyang fardu ketika berpuasa atau hanya bersolat pada bulan Ramadan sahaja. Sabda nabi s.a.w : Beza di antar seorang Muslim dengan syirik serta kekufuran adalah meninggalkan solat. (riwayat  Muslim). Menurut sebahagian ulama salaf, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum kafir. Maka sudah pasti amalan puasa orang yang kafir tidak akan diterima oleh Allah.

* Memusnahkan pahala puasa sebulan dengan sambutan hari raya yang melampau sehingga melakukan maksiat.

Ini adalah di antara beberapa kesalahan yang biasa  dilakukan oleh umat Islam semasa menjalankan ibadat puasa yang telah merendahkan martabat bulan Ramadan. Oleh itu, kita perlu menghindarkan perkara-perkara tersebut demi menjamin pahala yang berganda di bulan ini.

Ini berdasarkan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lepas. (riwayat al-Bukhari)

KELEBIHAN BERSAHUR DI BULAN RAMADHAN

KELEBIHAN BERSAHUR DIBULAN RAMADHAN..

1-Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya bersahur itu adalah berkat.

2-Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Hendaklah kamu Bersahur kamu kerana ia adalah makanan yang berkat.

3-Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Perbezaan antara puasa kita orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah kita makan sahur.

4-Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tudir sekejap) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail – hadis dari Ibnu Abbas.

5-Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur – hadis dari Ibnu Umar

6- Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sentiasalah umatku itu dalam keadaan kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur

7-Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sahur itu berkat, oleh itu janganlah kamu meninggalkannya walau pun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur.

Rabu, 3 Ogos 2011

UCAPAN RAMADHAN


Salam Ramadhan dan Selamat Menunaikan Ibadah
di Bulan Yang Barakah ini.

BANNER PANDUAN SOLAT TARAWIH NEGERI JOHOR


Assalamualaikum.. wbt.. Salam Ramadhan...

Disini disertakan kepada anda semua salinan ( copy ) fail banner yang telah direkaletak oleh Admin untuk tempahan beberapa surau dan masjid. Sesiapa yang ingin copy dan print sendiri sebagai banner adalah dipersilakan. Tiada tuntutan hakcipta terikat kepada sesiapa ingin download dan memperbanyakkannya.
Spesifikasi : sumber - Jabatan Agama Islam Johor ( Buku Wirid Dan Doa )
Ukuran / dimensi : 4 kaki x 5 kaki ( 48 inc x 60 inc )

Semoga lampiran ini dapat membantu anda ...

TAZKIRAH RAMADHAN DR HARON DIN

TAZKIRAH RAMADHAN: DOA PALING UTAMA DI BULAN RAMADHAN
APAKAH DOA YANG PALING UTAMA DI BULAN RAMADAN DAN SIAPAKAH DIA UWAIS AL-QARNI?

Oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Kedatangan bulan  Ramadhan walaupun menjadi suatu kebiasaan kepada kebanyakan orang, tetapi sebenarnya ianya menjadi suatu mercu tanda kepada orang-orang yang ingin mencapai kepada matlamat penghidupan yang sebenarnya iaitu seperti yang disebutkan oleh Allah swt;

Surah Al-Baqarah:183

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Al-Baqarah:183)

Khususnya dalam kontek kita berpuasa disebutkan sebagai “La‘al lakum tattaqun” maksudnya dengan berpuasa kamu akan memperolehi darjat ketaqwaan kepada Allah swt. Menjadi suatu yang agak lumrah kepada insan, biasa disebut, di hafal dan diingati kalimah ini “La‘al lakum tattaqun”, tetapi pernahkah, sampaikah kita ke tahap “tattaqun” itu bila sampai Ramadan dan berakhir Ramadan?

Sampaikah kita kepada apa yang nabi sebut kepada isteri-isterinya dan kepada sahabat-sahabatnya iaitu“Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, iaitu maksudnya “Alangkah hairannya (ajaibnya) bagi orang yang telah sampai umurnya kepada menjelang Ramadan, apabila habis Ramadan hairan kalau dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya”.


Tidak ada insan yang tidak berdosa melainkan nabi yang maksom. Kita lihat dizaman ini banyak perkara yang terpaksa kita telan dan kita tempuh. Akibatnya kita terpaksa menerima kemurkaan-kemurkaan Allah swt. kepada hamba-hambanya. Kita lihat dari bala bencana, musibah demi musibah, kita lihat dari berbagai-bagai kejadian yang tidak menyenangkan menunjukkan bahawa adanya kemurkaan Allah. Allah tidak akan murka melainkan kerana besarnya dosa manusia. Kerana itu datang ramadan, memanglah boleh menghairankan orang yang sempat hidup sampai Ramadan, apabila habis Ramadan dosa dia tidak terampun.

Sebab itu Siti Aisyah radiaAllahhu anha ingin sangat untuk bertemua peluang dengan malam Qadar (Lailatul Qadar), dia bertanya kepada nabi “Bilakah berlaku malam Qadar?”. Nabi bertanya kepada Aisyah semula “Apakah kamu nak buat bila kamu bertemu dengan malam Qadar?”. Aisyah menjawab “Saya tak tahu” kemudian Aisyah bertanya lagi “Apakah yang patut saya buat bila bertemu dengan malam Qadar itu?”. Nabi berkata kepada Aisyah “Malam itu malam yang amat baik untuk beramal dimalamnya dan amat mudah dimakbul Allah doanya”. Aisyah bertanya lagi “Apakah doa yang paling baik untuk aku berdoa pada malam itu?” Nabi jawab “ Kalau kamu sempat berjumpa dan mengetahui malam itu ialah malam Qadar berdoalah

Doa Paling Afdal Dibulan Ramadan
“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa ku).

Sebenarnya Nabi dah tahu yang Aisyah itu akan masuk syurga ertinya dosanya telah diampunkan oleh Allah tetapi kenapa Nabi masih menyuruh Aisyah untuk memohon kepada Allah agar diampunkan dosa?. Sedangkan Aisyah memang layak untuk tidak dimasukkan ke dalam neraka, hanya layak ke syurga. Soal dosa dan pahala dia dah tak kisah sangat tapi nabi masih menyuruhnya berdoa supaya Allah ampunkan dosa.
Saya nak kaitkan dengan satu kisah iaitu bila Allah bagi tahu kepada nabi Muhammad s.a.w.  iaitu ada insan yang akan lahir dikalangan Tabiin (“Tabiin” maknanya satu kumpulan insan yang tidak sempat berjumpa dengan nabi tetapi hanya sempat berjumpa dengan sahabat nabi sahaja. Kalau orang yang sempat berjumpa dengan nabi, itu dipanggil “Sahabat”. Kalau orang yang lahir kedunia ini setelah nabi wafat tetapi sempat berjumpa dengan Sahabat ia dipanggil Tabiin).

Nabi berpesan kepada Umar dan Ali, “Akan lahir dikalangan Tabiin seorang insan yang doa dia sangat makbul nama dia Uwais al-Qarni dan dia akan lahir dizaman kamu”.

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “al-Mubasyirun bil Jannah” iaitu mereka dah dijamin masuk syurga.

Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali, “Dizaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dbesarkan di Yaman. Dia akan muncul dizaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia mintak tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Sama juga macam kisah Siti Aisyah tadi, Umar dan Ali bertanya kepada nabi soalan yang sama iaitu “Apakah yang patut saya mintak daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi menjawab “Kamu mintak kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian”.

Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan nabi, mintak sesuatu yang baik kepada mereka, nabi menjawab “Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt.” Jadi topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau logiknya ahli syurga macam dah tak perlu kepada ampun dosa kerana mereka dah dijamin masuk syurga, tetapi tidak, nabi masih tekankan supaya mintak Allah ampunkan dosa.

Siti Aisyah telah bertemu dengan malam Qadar, dia telah berdoa sepanjang malam sampai ke subuh dengan doa yang nabi ajarkan iaitu “Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Kamulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa saya).

Memang benarlah firasat seorang nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Memang mereka tunggu dan cari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni.

Dengan pandangan mata luar, tidak mungkin dia orang yang nabi maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang akal tidak sempurna (wire short), sesuatu yang macam tidak betul pada pandangan orang. Tetapi dia ada sesuatu…..

Asal usul Uwais al-Qarni

Dia asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Satu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji.

Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang diatasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur maka ibunya mendesak dan berkata kepada anaknya “Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Uwais mendapat suatu ilham, dia terfikir apa nak dibuat. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit).

Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan.

Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dia ini gila. Memang pelik, buatkan rumah untuk lembu diatas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit.

Tetapi sebenarnya niatnya baik. Kalau lembu kita buat begitu pagi sekali petang sekali daripada lembu yang beratnya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot (muscle) tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit.

Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Dibelakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke rumah dia di Yaman, Ibu dia berkata kepada dia “ Uwais, apa yang kamu berdoa sepanjang kamu berada di Mekah?”. Uwais menjawab “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”. Ibunya bertanya lagi “Bagaiman pula dengan dosa kamu”. Uwais menjawab “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga”.

Ibunya berkata lagi “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini”. Uwais kata “Saya keberkatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah ta’ala”. Ibunya menanbah “Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa”.

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibu dia minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa “Tolonglah Ya Allah kerana ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit”

Allah swt. sembuhkan serta merta, hilang putih sopak diseluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling ditengkuknya. (Kalau bagi nabi, baginda ada Khatam Nubuwah iaitu tanda kenabian, tanda pada nabi bersinar) Tanda tompok putih pada Uwais sebab dia mintak agar jangan dibuang kesemuanya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka nabi sebut kepada Umar dan Ali akan tanda ini. Tandanya kamu nampak dibelakang dia ada satu bulatan putih, bulatan sopak.  Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni.

Selepas tidak lama Uwais berdoa yang demikian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya disisi Allah. Doa dia cukup makbul hatta penyakit sopak pun boleh sembuh. Mengikut al-Quran, Nabi Isa Alaihisalam yang pernah berdoa untuk kesembuhan penyakit sopak dizamannya.

Berbalik kita kepada point asal, Sayidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais ini minta satu sahaja  iaitu minta supaya doakan supaya Allah swt. mengampun semua dosa-dosa mereka.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata “Aku datang ini dari Yaman ke Madinah kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. Aku datang ini nak tunaikan wasiat itulah”. Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Doa yang paling utama di malam Qadar

Seperti yang saya sebutkam dipermulaan tadi “Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, Memang hairan orang yang dapat hidup sampai Ramadan ini, tetapi dosa dia tidak diampun.

Kalau malam ini malam Qadar, fokus kita selalunya memanglah nak minta hal-hal keduniaan. Kalau kita dapat rasakan dalam perasaan dalaman seorang insan kecil hamba Allah ini apa yang hendak kita mintak di malam Qadar? Saya rasa orang tidak begitu berminat untuk minta supaya diampunkan segala dosa, mereka akan minta yang lain pula, minta saham naik, perniagaan laris, dapat kahwin lagi dua, kaya, mesti pilihan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, sedangkan “Wallah yuridul akhirah”. Allah dan RasulNya lebih mengutamakan penghidupan akhirat itulah yang paling mustahak sekali.

Selama ini pun kita tidak tahu bahawasanya terampunkah dosa-dosa yang telah kita buat? walaupun kita rasa macam dosa itu Allah telah ampunkan.

Ada peluang yang macam ini iaitu malam Qadar atau berpeluang berjumpa dengan orang-orang yang konfirm macam tadi iaitu doa-doa mereka makbul seperti orang-orang yang soleh dan seumpamanya doa yang paling utama dan besar diminta ialah minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita.

Bukan kata orang lain sebagai contoh besar, hatta nabi yang dikatakan “Ghoforollah hu mat taqadaman”, Allah ta’ala ampunkan dosa dia yang telah lalu (jika ada) dan juga ampun untuk yang akan datang.

Tetapi kenapa nabi masih berdoa kepada Allah tiap-tiap hari tidak kurang dari seratus kali iaitu “Astagh firruka humma waatubu ilaih”. Sehari seratus kali , sembahyang baginda, berdoa panjang-panjang sampai dikataka juga (hadith Aisyah) sampai bengkak kaki nabi. Sampai Siti Aisyah berkata kepada nabi, “Ya Rasulullah, kenapalah sampai kamu teruk-teruk beribadah hingga bengkak kaki, sembahyang lama-lama, menangis lama-lama, tidakkah Allah telah ampunkan dosa kamu dahulu dan kemudian?”. Nabi menjawab “Kalau demikian adanya mengapa aku tidak menjadi hamba yang bersyukur”.

Syukur maknanya melakukan ibadah kepada Allah swt. Inilah yang saya katakan tadi, datanglah sistem yang Islam kemukakan kepada ummah, seluruh aktiviti-aktiiti ibadah, penumpuan kepada persiapan-persiapan yang dikatakan “Wa tazau wadu” kesemuanya ditujukan ke arah pembersihan diri, hati, akal dan budi daripada yang dipanggil “al-khush” (yang tidak baik).

Al-Quran memberikan satu analogi iaitu Bumi kalau sudah cantik dan subur dia mudah menumbuhkan pokok-pokok yang bermanfaat dan bagi bumi yang kotor (bagi maksud tidak sesuai ditanam tumbuhan) seperti tempat berbatu dan berpasir, tanam apapun tak tumbuh, kalau tumbuh pun dia tak jadi seperti tempat yang lain.

Maksudnya sama seperti insan, kalau yang disimpan dalam diri kita ini kotor (benda yang jijik) maka tidak akan keluar melainkan yang kotor juga. Kalau dalam diri kita baik, dia akan menumbuhkan yang baik, amal dia baik, kata-kata dia baik, akhlak dia baik, muammalah dia baik dan dia dikatakan orang yang baik.

Allah itu baik, Dia tidak terima amalan melainkan amalan yang baik juga. Sebab itu dari awal Islam datang dah ada sistem seperti contoh ayat-ayat al-Quran yang awal turun surah Al-Mudatsir, firman Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang sedang tidur, bangunlah kamu beri peringatan kepada manusia (maknanya bergerak dalam satu wadah perjuangan, mengerakkan jiwa diri sendiri dan jiwa insan) dan kepada Tuhanmulah kamu wajib membesarkanNya, jangan mengagungkan yang lain, agungkan Allah swt. sahaja.

Caranya diberikan beberapa analogi seperti apa yang kamu pakai iaitu pakaian biasa, rumah tempat tinggal, kereta yang dinaiki dan apa sahajalah mestilah yang bersih, kamu kena sucikan dia. Sebab ini sangat kena dengan ayat yang nabi hayati. Diantara pakaian yang nabi suka pakai ialah pakaian putih yang melambangkan suci dan bersih. Walaupun kadangkala nabi pakai warna merah dan hitam didalam peperangan tetapi yang paling nabi sukai ialah warna putih.

Sebab itu kita lihat, pakaian haji putih, kain kafan putih (tak pernah nampak lagi kain kafan warna hijau, kain kafan biru lagi tak pernah nampak). Ditempat saya masjid-masjid gunakan kain putih sebagai alas tempat sujud. Serban umumnya putih. Serban nabi putih kadangkala ada yang hijau.

Apabila diluar memakai pakaian putih bersih maka didalam diri perlu buang segala kekotoran. Islam mengajar agar diluar bersih sehingga kedalam diri juga bersih. Kalaulah inilah yang nabi buat dari pada mula memanglah bulan Ramadan ini yang utama ialah untuk membersihkan diri.

Dengan puasa yang kita buat, malam kita bertarawih, berdoa secara bersistematik dari awal ramadan sampai akhir ramadan iaitu doa;

Doa Paling Afdal di Bulan Ramadhan
“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa ku).

Kalau dibuat setiap malam dari awal ramadan sampai akhir ramadan pastilah kita jumpa dengan satu malam yang mana malam ini ialah malam Qadar. Sebab dia pasti datang setiap tahun dibulan ramadan. Kalau kena malam itu maka sampailah tujuan tadi kita dapat memohon daripada Allah swt. minta yang paling berharga iaitu bermohon agar Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita. Kalau bertemu demikian kita sampailah kepada matlamat tadi iaitu “La’al lakum tat takun” dengannya kamu bertaqwa, dengannya kamu sampai kepada matlamat yang dikatakan tadi.

“Ya ‘ajaban”, memang menghairankan orang yang sempat datang Ramadan kepadanya dia tidak manfaatkan ramadan itu untuk Allah ampunkan semua dosa-dosanya.

Semua krisis-krisis dunia, semua masalah yang insan hadapi didunia, yang kita hadapi hari ini dalam semua masalah, pergaduhan, hutang yang banyak, akan berakhir bila orang itu mati. Kita berjanji dengan orang, bertelagah, bergaduh, semua krisis-krisis dunia ini kepada seorang insan dia habis bila dia mati.

Tetapi krisis dosa dengan Allah ta’ala khasnya krisis keimanan, krisis kerana kita menyimpan dosa yang melibatkan iman dan sebagainya, didunia dia tidak menampakkan masalah tetapi sebenarnya ia akan bermula apabila telah hampir nak mati, masuk kubur lagi masalah, alam barzakh lagi masalah, sampai kepada alam mahsyar lagi bermasalah puncanya balik kepada dosa tadi.

Sebab itu nabi telah bagi satu garis panduan yang cukup senang kita faham. Kita tidak disuruh minta dimalam Qadar supaya turun emas dari langit, minta agar dikasihani oleh semua orang, minta agar dijadikan ketua selama-lamanya, untung berniaga, bukan itu yang patut diminta. Sebaliknya nabi bagi contoh kalau ini dapat kamu capai walaupun dunia kamu susah sekejap tetapi kamu akan berakhir krisis dunia ini bila kamu mati.

Jika kamu ada dosa ini mati bermula suatu penghidupan yang perit, malah dari sejak nak mati sekalipun sudah bermula, sampai kepada peringkat orang-orang yang “Zalimi an fusu hum” orang-orang yang menzalimi diri mereka dalam kehidupan ini kerana membiarkan dosa, banyak melakukan dosa, tidak cuba untuk membuang dosa, bila nak mati akan datang malaikat kepada mereka dengan pemukul untuk pukul muka, belakang hingga ke punggung mereka. Ia bermula daripada nyawa nak keluar, tergantung-gantung diantara langit dan bumi, diantara barzakh dengan tidak barzakh, masuk kubur terseksa.

Sebab itulah nabi nak lepaskan kita daripada seksaan ini semua, nak pastikan kepada isteri dia Siti Aisyah pun berpesan “Kalau kamu dapat malam Qadar jangan minta yang lain selain daripada minta supaya diampunkan Allah segala dosa”.

Ingatlah juga ketika nabi berpesan kepada orang yang dia sayangi iaitu Umar (bapa mertuanya) dan Ali (menantunya) kalau kamu berjumpa dengan Uwais al-Qarni mintalah supaya Allah ampunkan segala dosa kamu. Begitu juga nabi berpesan kepada sahabat-sahabat yang lain supaya bermohon supaya Allah ampunkan segala dosa.

Penutup

Memang telah menjadi tradisi kita di Darussyifa’, kita bertemu sekali dalam bulan Ramadan bersama-sama berbuka puasa, bersolat tarawih dan saya berpeluang untuk berucap mengajak diri saya dan mengajak semua orang. Kita akan manfaatkan Ramadan ini dengan fokus kita supaya tidak ada lagi dosa, kalau ada dosa diampunkan. Caranya kita jangan tambah dosa, yang ada selesaikan. Minta ampun yang berbaki daripadanya.

Dan AlhamdulilLah jika kita diambil oleh Allah dibulan Ramadan lebih-lebih lagi jika kita mati di Mekah di bulan Ramadan. Macam baru-baru ini orang Malaysia yang mati kemalangan jalanraya di Mekah, kita cemburu kerana Allah pilih dia dan tidak pilih kita. Pilih mereka yang dalam musafir, dalam keadaan buat Umrah, dalam bulan Ramadan pula, mati syahid dunia kerana mereka luka parah, kemudian disembahyangkan pula di Masjidil Haram yamg setiap malam sembahyang itu jutaan manusia yang mendoakan mereka masuk syurga. Jadi itu satu keberuntungan kerana Allah pilih mereka. Kita pula menunggu giliran entah dimana..

Maka persediaan kepada kita, pada saya, pada saudara sekalian, kita ambil peluang Ramadan ini untuk Allah ampunkan dosa kita semua. Supaya kita termasuk dikalangan hamba yang akan beruntung khasnya selepas kita kembali kepada Allah swt.

Selamat berpuasa, selamat berhari raya, maaf zahir batin, terima kasih kepada yang menganjurkan majlis malam ini Darussyifa’ dan kita mengharapkan kepada Allah swt.  agar sentiasa menghimpunkan kita sebagai orang-orang yang sentiasa berkasih sayang dan saling bermaaf-maafan menuju kepada kerahmatan dan keberkatan Allah swt.



|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Tazkirah ramadan ini ditulis semula daripada rakaman tazkirah Ramadan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din pada hari Khamis 12 Ramadan 1427H bersamaan 5 Oktober 2006.

WAKTU SOLAT NEGERI JOHOR 1432H (RAMADHAN)

Salam Ramadhan semua,.....

Disini kami sertakan jadual waktu solat bagi negeri-negeri jajahan takluk Negeri Johor untuk Bulan Ramadhan 1432H bersamaan 2011M.

BAHAN DOWNLOAD IHYA RAMADHAN 1432h

SELAMAT DATANG KE LAMAN KHAS IHYA RAMADHAN

Laman ini masih dalam pembinaan... oleh itu, harap maaf dan semoga laman ini dapat disiapkan dalam sebelum 4hb Ogos 2011. Insya Allah.

Admin PI